Apakah dengan minum Holy Water boleh memurtadkan?

Posted: August 21, 2011 in dialog agama, islam, kristian

Perangkaan tepat Muslim murtad perlu segera didedah

2011/08/14 Yusri Mohamed, Presiden PEMBELA

Berani hadapi kenyataan permudah rangka tindakan ISU murtad bukan perkara baru, namun gempar semula susulan pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Damansara dan mendapati ada orang Islam menyertai majlis di dalamnya. Wartawan Berita Minggu, ROHANIZA IDRIS dan SYED MOHD RIDZUWAN SYED ISMAIL bertemu Pensyarah Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dan Presiden Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Dr Yusri Mohamed untuk menghuraikan isu ini. Badlihisham Mohd Nasir Orang miskin yang beragama, tidak sanggup buat begitu kerana mereka percaya miskin adalah ujian keimanan. Mereka yang tiada ilmu atau kurang didikan agama saja sanggup menggadai akidah. – Yusri Mohamed, Presiden PEMBELA PADA pandangan Prof, sejauh mana parahnya isu murtad di negara kita kerana sebelum ini, Tan Sri Dr Harussani Zakaria mendakwa lebih 230,000 Muslim di Malaysia murtad? Jumlah besar Islam murtad terdiri daripada mereka yang pernah memeluk Islam dan kemudian keluar agama ini termasuk Orang Asli. Ia bukan angka masuk Kristian di kalangan orang Islam secara khusus. Kita tidak mahu ada pihak menggunakan angka tidak dipastikan ini yang akhirnya menimbulkan rasa tidak tenteram sehingga memerlukan penyelamat atau hero tidak diundang. Sedangkan mereka sebelum ini tidak ambil peduli pun. Pihak berkuasa agama mungkin tiada data kemas merujuk isu ini atau mungkin disembunyikan atas alasan tertentu. Ini menyukarkan khususnya bagi kajian objektif dan terperinci dilakukan ahli akademik atau orang luar. Usaha ke arah mendapatkan jumlah tepat atau profiling perlu segera dilakukan. Sebagai umat Islam bertanggungjawab, kita harus berani berdepan situasi sebenar sebelum merangka dan mengambil tindakan sewajarnya. Benarkah Islam murtad didorong sogokan dan bantuan atas faktor kemiskinan. Apakah selemah itu masyarakat Islam hingga senang sekali murtad? Pemberian wang dan bantuan ada asasnya kerana dalam konteks gerakan pendakyah Kristian, wujud konsep ‘diakonia’ iaitu khidmat masyarakat kerana ia tuntutan bagi melaksanakan manifestasi Love of God yang menjadi asas agama itu. Namun, tidak semua penganut Kristian mempunyai orientasi itu seperti tidak semua Muslim ada visi dakwah. Dalam Kristian, tidak semua terbabit menyebar agama, begitu juga dalam Yahudi tidak semua jahat kecuali Zionis. Bagi misionari Kristian, tumpuan diberi kepada aspek kebajikan dalam menarik minat penganut. Sudah tentu isu kemiskinan boleh digunakan untuk melaksanakan misi dan visi mereka. Kita harus serius terhadap perkara ini kerana Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran.” Pertolongan gerakan ini harus dilihat penuh hati-hati walaupun hasil perbincangan saya dengan pihak Kristian, tidak semestinya mereka mencapai objektif mengkristiankan orang ramai setiap kali memberi bantuan kerana itu sebahagian tanggungjawab. Mereka yang ada masalah ekonomi, ditambah dangkal mengenai Islam memang terdedah kepada proses murtad. Namun, tidak semudah itu umat Islam murtad. Takkanlah dengan hanya membaca Bible atau hadir majlis di gereja menyebabkan mereka menukar agama. Bahkan bagi mereka yang lengkap ilmu agama sendiri, ia berguna bagi melihat perbandingan Islam dengan agama lain dan dapat meningkatkan lagi keimanan. Bagaimana dengan konsep perbincangan atau sikap terbuka antara agama? Seorang aktivis Muslim di United Kingdom yang saya temui berasa Islam sangat sempurna apabila melalui proses inter-religious community, melawat tempat ibadat agama lain di samping mendapat penerangan lanjut tokoh agama itu. Ini tidak termasuk tokoh Kristian sendiri yang memeluk Islam selepas mereka mempelajarinya. Ramai terpesona dengan kaedah perbandingan ini. Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, menyatakan beliau kerap baca al-Quran dan mengaku banyak mendapat perkara baru daripadanya. Bagi orang awam, kehadiran di tempat sedemikian (ke gereja) boleh menimbulkan fitnah kerana pihak Kristian yang berniat memurtadkan orang Islam dibekalkan dengan pendekatan kontekstualisasi, cuba membumikan Kristian dengan acuan budaya tempatan. Mereka menggunakan nama Allah, mengekalkan adat dan budaya tempatan bahkan ritual agama juga. Di Indonesia, ada orang Kristian menutup aurat, mengaji Bible dengan nada seperti membaca al-Quran. Kita mungkin boleh tafsirkan bahawa perbuatan menyamakan berbuka puasa dengan thanksgiving adalah satu daripada pendekatan itu. Walaupun penganjur menafikan niat sebenar, mereka harus mengambil kira sensitiviti ini. Walaupun kecenderungan Kristian kini membentuk pendekatan baru yang lebih toleransi dan harmoni melalui inter-religious witness berbanding orientasi misionari, apakah jaminan mereka bebas daripada misi sebenar. Jika ingin menganggap semua agama sama, Islam tetap tidak dapat menerima pluralisme dan liberalisme, Islam bukan sekadar agama ritual tetapi sistem hidup yang lengkap. Berbalik kepada kemiskinan yang mungkin digunakan misionari memurtadkan orang Islam. Bolehkah ia dikaitkan dengan kelemahan sistem pengagihan wang zakat dalam Islam? Jika kita ke pusat zakat, orang yang ingin membayar zakat disambut dengan senyuman dan ada juga diberi cenderamata, berbeza dengan layanan terhadap orang yang datang untuk meminta zakat, ditambah dengan pelbagai prosedur menyukarkan golongan yang jahil mengenai hak mereka mendapat pembelaan. Kita kena sedar orang miskin lazimnya datang dari satu pakej latar belakang pendidikan rendah dan ramai tidak tahu prosedur. Ada juga masalah profiling asnaf di agensi berkaitan sehingga sukar menjejak mereka yang layak. Orang yang datang biasanya terdesak memerlukan bantuan sedangkan mereka terpaksa melalui birokrasi rumit. Namun, saya yakin agensi berkenaan sedar dan berusaha memperbaiki masalah ini. Kesalahan juga boleh diletakkan kepada fakir yang sengaja mencari kesempatan membolot bantuan walaupun walaupun menggadai akidah di pusat bantuan agama lain. Bagaimana mahu membendung murtad, sedangkan ada dakwaan jika minum air suci atau holy water pun sukar mengucap dua kalimah syahadah, seterusnya melupakan Islam? Rasionalnya, takkanlah minum air boleh sebabkan seseorang murtad atau lupa. Jika begitu, kerja misionari Kristian sangat mudah. Kita hendaklah adil sekalipun terhadap musuh. Janganlah guna hujah palsu bagi menunjukkan kepalsuan agama lain atau dengan tujuan menunjukkan kita terancam. Hebat sangat nampaknya Kristian sampai menimbulkan rasa takut umat Islam. Namun jika dakwaan itu betul, ia perlu diambil perhatian kerana sihir bukan boleh dinafikan begitu saja. Walaupun isu ini dinafikan pihak gereja, ia perlu dijejaki untuk membuktikan kebenarannya. Jika benar, ia termasuk dalam kategori paksaan secara tidak langsung. Dalam kes JAIS, ia menjadi rumit kerana masalah pendekatan, berkait dengan waran dan sebagainya. Kenapa tidak bagi ruang kepada JAIS menjalankan tugas kerana melalui kenyataan jabatan itu, mereka pergi (memeriksa gereja) dalam keadaan baik dan mempunyai bukti. Masyarakat harus bersabar kerana JAIS bertindak mengikut undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita mungkin boleh mempersoalkan cara dan pendekatan, tetapi tidak dalam masalah prinsip. Jika terbukti ada usaha mengkristiankan atau sebaliknya, biar mahkamah memutuskan. Undang-undang yang ada jangan dilihat menceroboh hak penganut agama lain. Sejarah menunjukkan Kristian mengenakan hukuman berat kepada mereka yang tinggalkan agama itu tetapi ia larut dalam arus sekularisme dan liberalisme di Barat. Orang Islam berhak menjaga agama selaras dengan undang-undang murtad dan tidak menceroboh hak agama lain. Kita juga perlu memperkasakan lagi fungsi surau dan masjid. Pintu masjid perlu dibuka kepada semua dengan menjaga adab dan aktif aktiviti kemasyarakatan seperti gereja. Gelandangan dan pesakit termasuk penghidap AIDS mendapat tempat di gereja sedangkan orang Islam memandangnya jijik. Versi lama masjid hanya tempat solat perlu diubah seperti diimarah secara meluas pada zaman Rasulullah SAW. Umat Islam perlu tampil memimpin semua agama, harus jadi umat terbaik menyatukan kepelbagaian kepercayaan dalam suatu kuasa yang dihormati. Apa yang berlaku kini Kristian aktif mendominasi sedangkan Islam boleh menjadi payung semua agama. Hidayah adalah kurniaan Allah tetapi kita harus berusaha berdakwah dengan pelbagai cara termasuk memimpin mereka walaupun mereka tetap kekal dalam agama masing-masing. Akhirnya kita harus bijak agar isu ini tidak menenggelamkan isu lain yang lebih penting. Miskin bukan alasan gadai akidah Yusri Mohamed BAGAIMANA PEMBELA melihat isu murtad yang kembali menggemparkan negara? Murtad di Malaysia adalah kes serius tanpa perlu mengambil kira berapa jumlah yang sudah murtad. Selama ini, mengikut Perlembagaan, kita berjaya mempertahankan setiap orang yang dilahirkan Islam tidak boleh menukar agamanya. Apa yang sudah dipraktikkan itu sangat berjaya dalam negara majmuk, yang tidak ada di negara lain. Kes murtad walaupun hanya seorang, adalah serius. Cubaan memurtadkan orang Islam semakin bertambah dan dibimbangi terus meningkat jika tiada usaha segera menyekatnya. Dalam kes gereja di Damansara itu, jelas membuktikan ada gerakan memurtadkan umat Islam. Ini ancaman baru yang cuba dilakukan secara tersembunyi, tetapi semakin berani dan agresif. Adakah ini kerana kelemahan penguatkuasaan dan gerakan dakwah Islam? Semua perlu muhasabah dalam isu ini. Pemimpin negara peringkat tertinggi ada peranan, perlu tegas dan konsisten. Penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan, undang-undang perlu digunakan sebaiknya. Jangan gentar dengan tindak balas pihak yang diambil tindakan. Kita kena lihat juga cubaan yang mengganggu gugat kes penguatkuasaan seperti laporan media yang berpihak kepada satu kumpulan. Institusi agama termasuk pertubuhan Islam, komuniti dan keluarga perlu ambil serius isu murtad. Keluarga harus ambil berat ahli masing-masing dan memastikan pendidikan agama diberi. Pendidikan dapat menjadi benteng untuk tidak jahil, kufur seterusnya murtad. Sokongan keluarga kunci menyekat diri daripada murtad. Dalam pendedahan kes murtad, tiada sokongan keluarga menyebabkan seseorang terpinggir dan mencari jalan penyelesaian dengan menerima tawaran pihak yang suka mengambil kesempatan. Faktor tekanan hidup, masalah kewangan dan kemiskinan dijadikan alasan untuk murtad. Adakah isu kemiskinan umat gagal ditangani? Faktor itu tidak boleh dijadikan alasan untuk murtad. Saya pasti mereka yang miskin dan tertekan sengaja menggadaikan maruah dan agama demi wang. Tidak perlu hanya kerana hidup miskin, sanggup gadaikan akidah. Orang miskin yang beragama, tidak sanggup buat begitu kerana mereka percaya miskin adalah ujian keimanan. Mereka yang tiada ilmu atau kurang didikan agama saja sanggup menggadai akidah. Pihak berwajib dalam bidang pendidikan dan agama perlu menilai pendidikan dan dakwah kepada umat Islam. Begitu juga soal memberi perlindungan kepada mereka yang cetek agama, miskin, pesakit dan mualaf. Memang rumah perlindungan bertambah, malah jabatan agama Islam bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menubuhkan rumah perlindungan yang sebelum ini lebih banyak gereja buat. Diharap banyak lagi rumah seperti itu diwujudkan. Bagaimana dengan penggunaan media baru untuk menyebarkan agama selain Islam? Media baru dan kecanggihan teknologi dalam dakwah, sebenarnya ada kebaikan dan keburukan. Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menyebabkan batasan selama ini terbuka luas, malah ramai berani membicarakannya secara terbuka. Pada masa ia memberi kelebihan mendedahkan Islam kepada dunia luar, pintu untuk memurtadkan orang Islam juga terbuka luas. Saya percaya isu murtad lebih kepada kelemahan pegangan agama, bukan kerana kecanggihan ICT. Apakah pendapat anda terhadap pihak yang menuduh JAIS melanggar Perlembagaan, menyekat kebebasan beragama kerana melakukan pemeriksaan di gereja di Damansara itu? Kenyataan sedemikian dikeluarkan mereka yang tidak mahu mendengar penjelasan JAIS. Mereka juga menentang dan memesongkan tafsiran Perkara 11 dalam Perlembagaan dan cuba mengelirukan orang lain dengan tuntutan bukan-bukan. Perkara 11 menyebut kebebasan beragama, namun ada batasannya. Golongan itu membawa dakyah untuk memecah belah rakyat asalkan niat mereka tercapai. Usah berkompromi dengan perkara berkaitan akidah dan iman. Ada umat Islam dalam membicarakan isu agama, sering melupakan akidah dan iman, menghalalkan cara dan membelakangkan agama, pentingkan kelangsungan politik serta kedudukan. Kita perlu tegas jika bicara soal akidah, iman dan agama. Sesetengah orang begitu tegas dalam isu demokrasi dan hak asasi pilihan raya tetapi tidak berani bersuara dalam kes agama, akidah dan iman. Jelas berlaku kemungkaran. Yang lantang memberi komen ialah pihak cetek agama serta ada sentimen politik. Ada pihak tidak suka JAIS atau apa saja dilakukan badan itu mahu dipolitikkan. Ini amat menyedihkan untuk umat Islam di negara ini.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PerangkaantepatMuslimmurtadperlusegeradidedah/Article

Comments
  1. Assalammualaikum dan salam sejahtera buat saudara pegarang dan juga kepada semua para pembaca.

    Ternyata topik ini memang terlalu sukar untuk dibendung dan malah teramat bingung untuk menemukan titik penyelesain kerana ianya membabitkan agama, sensitivi kaum dan juga politik.

    Diarus pembanguan moden ini pemikiran cerdik pandai, pemikiran sederhana, pemikiran politik, pemikiran undang2 dan pemikiran ideology telah menimbulkan kecelaruan dalam bab2 keagamaan. Maka timbullah isu2 ketidakpuasan diantara kaum dan agama. Ini pula didorong oleh pemikiran “emosi” yang memburukan lagi keadaan dimana akal dan minda telah membelakangi “niat” dan “iman” segenap lapisan masyarakat. Yang menjadi lebih parah, apabila fakta agama menjadi pegangan untuk menidakkan yang betul dan membetulkan yang tidak betul.

    Didalam isu keagamaan, Kristian telah mewujudkan ketidaksepahaman selepas Nabi Isa lenyap dari bumi tercinta ini. Maka, timbulah pelbagai amalan yang tak seiringan diantara kaum yang mengakibatkan perpecahan mazhab seperti Roman Katolik, Protestant, Ortodocs, Anglican, SDA, SIB dan macam2 lagi.

    Disebelah umat Islam pula, ketidaksepahaman ini timbul selepas kewafatan Nabi Muhammad yang mengakibatkan Khalifah2 dimasa itu bertelagah sesama mereka dan sampai ada pembunuhan yang berlaku yang mengakibatkan kematian disebelah pihak keluarga keturunan Nabi Mohammad. Dari isu ini maka timbullah kepelbagaian amalan dan mazhab yang berbeza-beza seperti Sunni/Sunnah (Maliki, Hambali, Syafie, Hanafi) Syiah, Alawi dan sebagainya.

    Kalau diikutkan dari segi agama, telah terbukti dan ternyata sampai dunia kiamat pun tidak akan timbul isu “penyatuan” dianatara kaum dibumi ini kerana Kristian dan Islam tak akan dapat melalui satu titik penyelsaian didalam agama masing2 yang dapat menyeru umat Kristian untuk menjadi satu mazhab dan begitulah jugalah yang terjadi kepada umat Islam. Oleh yang demikian, lebih parahlah bila perbezaan agama diantara Kristain dan Islam diketengahkan untuk menjadi isu pendebatan untuk mencari siapa yang betul dan siapa yang salah.

    Terlalu sukar untuk minda kita sebagai manusia ini untuk memikirkan apakah ujian2 yang perlu kita lalui sebagai umat Allah ini. Bila undang2 dijadikan kayu ukuran untuk berlaku adil dan menjalankan apa yang patut, maka timbullah pula apa yang kita katakan sebagai ‘hak asasi’ manusia yang mengatakan ini tak betul, yang itu tak betul, yang ini tidak mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan, tindakan yang diambil tidak mengikut kepercayaan agama, tersesat akidah, tak mengikut amalan…. dan macam2 lagi untuk kita mencari jalan penyelesaian dalam bab keagamaan.

    Maka terjadilah perang mulut diantara semua umat di pelusuk corot dan tempat yang merangkumi 27.5 juta rakyat Malaysia ini. Baik yang ahli politik, para ulamak, para paderi, para profesional, para cikgu, para pelajar, para penagih, para pencuri… dan banyak lagi. Maka perkataan “murtad”, “kafir”, caci mencaci dan yang paling hebat, ada pula manusia yang mengatakan yang megikut yang ini masuk syurga, yang itu pun masuk syurga, yang sebegini tidak, yang sebegitu tidak… dan banyak lagilah.

    Pada pandangan saya, meminum Holy Water bukanlah air sihir. Kalau ianya air sihir sudah pasti takkan ada seorang pun Paderi ataupun orang Kristian yang akan masuk Islam. Bila orang Kristian masuk Islam, teramat dialu-alukan, bila orang Kristian baca Al-quran dialu-alukan juga. Tapi bila orang Islam masuk Kritian… akan “murtad” dan “tidak boleh” sama sekali, masuk Gereja sudah pasti dilarang sama sekali. Kristian nak cetak bible, tidak dibenarkan sama sekali meletakkan nama Allah. Kristian order buku Bible dari Indonesia sampai bertahun-tahun baru boleh dapat kebenaran untuk diedarkan. Kristian nak cetak Kalimah Allah dalam Herald Kristian yang terang2 menulis amaran “Just for Non-Muslim” pun tak boleh. Bila pihak Kristian membantu orang susah menjadi isu besar yang mengatakan hendak “memurtadkan” orang Islam. Nak buat Gereja pun kena ada aturan, tinggi sebegini, luas sebegitu, disini tak bleh dan rupa bentuk pun kena ikut apa yang kerajaan suruh.

    Azan berkumandang dalam TV dan Radio dimestikan, Al-quran dan risalah Islam di jual disemua kedai digalakkan, ceramah agama dimestikan, mendirikan Masjid seharusnya. Kalau nak dikira ADIL, budak tadika pun boleh menentukannya. Tapi, untuk perpaduan rakyat… kita semua harus akur dan kita mesti mengikut lunas undang2 yang telah ditetapkan. Menang dan kalah tidak sepatutnya menjadi ukuran kerana Allah Maha Mengetahui tentang “niat” segenap insan yang bernama “Manusia”. Biarlah undang2 menjadi kayu pengukur tetapi kita tidak harus menjadikan agama sebagai hakim duniawi. Iman dan niat kita yang disertai amalan yang mulia hanya Allah yang dapat menentukan hukuman di akhirat nanti. Baik Kristian atau Islam, mahupun agama yang lain2nya.

    Hanya kekhuatiran peribadi saya ialah, apakah yang harus kita lakukan kepada orang2 Islam yang murtad? Setelah diajar dan diasuh, dilarang dan dihukum tetapi masih jua mahu berkeras untuk keluar dari Islam? Adakah melarang mereka tetapi dalam diam2 mereka ini tidak lansung mengikut amal ibadah Islam akan menenangkan jiwa mereka? Ataupun melepaskan mereka setelah semua kaedah untuk membuat mereka kembali tidak berhasil? Apakah undang2 duniawi akan dapat menjadi hakim yang berkesan untuk menghakimi Iman mereka? Dengan rendah diri saya berserah kepada Allah yang maha ADIL untuk menentukannya. Bila Iman kita teguh, kita tidak seharunya takut kepada manusia hatta jin. Allah lah seharusnya yang kita takuti.

    Orang Islam membaca kitab, kebanyakkannya membaca untuk mencari kesalahan dan mencari keburukan daripada mencari kebaikan. Begitu juga dengan orang Kristian, baca Al-quran untuk mencari kelemahan bukan untuk mencari kebenaran. Bila “niat” kita salah, memang sukar untuk mencari kebenaran.

    Bila saya baca Bible, teramat banyak kabaikan dan manfaatnya. Bila baca Al-quran, terlalu indah dan agung bunyinya. Hati kecil saya terdetik untuk menimba dan mempelajari setiap semua kebaikan dan keindahan yang terdapat di dalam Bible dan juga Al-quran. Memang begitu mulianya kedua-dua buku ini. Tiada satu pun diantara kedua-dua buku ini menuju kearah keburukan. Semuanya mengajar erti kebaikan. Malang bila buku yang semulia ini disalah tafsirkan dan disalah ertikan. Pembacaan dibuat hanya mengikut telunjuk minda untuk menentukan yang mana betul dan salah, dan yang mana mengikut fakta sejarah. Tiada seorang pun didalam hidup saya yang saya jumpa bila membaca mereka cuba untuk mentafsirkan keseluruhan isi menjadi satu. Kebanyakkannya membaca berpandukan secebis petikan dari muka surat ini dan itu, Firman ini dan itu, Sabda ini dan itu. Tapi bila diperhatikan secara terperinci dari muka surat pertama sampai ke akhir, semuanya ada kaitan yang tersembunyi.

    Contohnya, ada ayat yang mengatakan yang itu kafir, perbuatan itu terlarang dan harus dihukum bunuh, yang itu keji, jangan murtad, yang begini masuk neraka…. tetapi disudut lain, ada pulak ayat2 yang mengatakan kita harus berlaku adil, jangan membunuh, yang bertobat diampunkan, syurga dan neraka hanya Allah yang menentukan dan agama mu agama mu dan agama ku agama ku. Apakah kesimpulannya?? Tepuk dada tanya selera dan mari kita sama2 cuba memperbaiki apakah kelemahan kita sendiri. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

    Sebelum megundurkandiri, menjunjung ampun dan maaf kepada saudara pengarang dan juga semua pembaca yang budiman andai kata ada perkataan2 yang mengguris hati saundara sekalian. Niat dihati saya yang hina ini hanya untuk coba menyatukan kita semua sebagai umat sejagat supaya saling hormat menghormati diantara satu sama lain. Biarlah kita dilimpahkan dengan amal ibadah yang dapat membawa kita ke jalan yang benar melalui cara peribadi kita yang dapat menenangkan jiwa kita. Berdoalah dalam tangisan dan mintalah segala apa yang dihajati dengan “niat” yang betul2 murni. Beramallah sebanyak mungkin kerana Allah itu senantiasa menyukai orang2 yang berlaku baik dan adil. Dan serahkan “syurga” dan “neraka” itu kepada-Nya yang Maha Esa.

    Di akhir kata, semoga tatapan saya yang tidak seberapa ini dapat membantu pemikiran kita kearah kebaikan. Tetapi, janganlah saudara dan saudari membaca sampai mengelirukan pemikiran anda semua. Teguhkan “Iman” anda semua dan jikalau tatapan ini adalah salah dari pandangan anda, lontarkanlah ia jauh2 dari pemikiran anda. Kerana yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang buruk itu dari diri saya sendiri.

    Wasalam dan semoga ketemu lagi.

    Freedy anak Misid (Email : freddymisid@yahoo.com)

    • prokatolik says:

      Freedy menjelaskan kristian dan islam sukar mencapai titik pertemuan sampai kiamat sekali pun. Pendirian dalam Hadis ada menyatakan tentangnya. Kedua menurut Freedy, al quran dan alkitab sama-sama buku yang baik dan malang atau tidak cukup beruntung jika tidak mengambil pelajaran yang baik dari keduanya.

      Tulisan Freedy seolah2 seorang kristian tetapi beliau mengaku sebagai muslim. Mungkin namanya Freedy pun banyak diguna orang kristian Malaysia juga.

      Apabila Freedy mempersoalkan kewajaran topik ini diketengahkan (matlamat blog ini), saya pun tidak pasti adakah saya masih perlu teruskan perbincangan ini (melalui blog ini?). Namun tetap ada kewajaran kerana tidak banyak orang berani membawa topik sebegini berat. Saya tidak akan kata saya di pihak yang benar dan pihak lain tidak. Tujuan kita semua ialah hidup sesudah mati, kan? Setujukah anda perbincangan di blog ini ditutup?

  2. Assamualaikum dan Salam Sejahtera kepada saudara admin,

    Maafkan saya andai kata ada perkataan yang mencuit hati saudara. Apa yang saya tulis adalah dari sudut pandangan peribadi saya sendiri. Tidak perlu untuk saudara admin menutup blog saudara kerana saya merasakan saudara admin tidak menghakimi siapa yang salah dan siapa yang benar.

    Secara peribadi saya menulis supaya ada para pembaca di luar sana baik yang Kristian atau Islam supaya menjaga tatabahasa semasa memberi pendapat. Adalah tidak elok rasanya kalau ada yang mula caci mencaci dan hina menghina.

    Mungkin saudara admin keliru dengan nama dan keperibadian saya. Terus terang saya katakan saya adalah beragama Kristian yang juga menghormati agama Islam. Bagi saya, kedua-dua agama ini menuju kebaikan.

    Mungkin kerana family saya ada yang Kristian dan ada yang Islam menyebabkan penulisan saya telah mengelirukan saudara admin. Sekali lagi, maafkan saya saudara admin diatas kekeliruan peribadi saya.

    Semoga saudara admin sihat selalu disamping keluarga tersayang.

    God Bless. Amin.
    Freedy M.

  3. How did u end up getting the ideas to publish ““Apakah dengan minum Holy Water boleh memurtadkan?

    Memahami Perbezaan Katolik, Kristian dan Islam Dari
    Sudut Pandang Prokatolik”? Many thanks -Graig

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s