Filem boleh berfungsi untuk kerukunan beragama dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia

Posted: July 9, 2010 in debat agama, dialog agama, islam, kristian
Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18467&Itemid=1

Sejauhmana indahnya hubungan Islam dan Kristian?

 

Fahri Abdullah al-Masri
Fri | Dec 26, 08 | 2:21:08 am MYT
Menjelangnya Hari Natal, saya teringat sebuah filem yang pernah saya tonton. Hassan wa Morkos (Hassan dan Marcus) adalah satu filem keluaran Mesir yang bersulamkan babak-babak dan watak-watak komedi.

Dan babak yang selebihnya berunsurkan isu-isu keagamaan yang bernada agak serius juga. Tapi, genre filem ini adalah komedi. Saya tidak tahu apakah hal ini disengajakan untuk mengelakkan berlakunya isu-isu kontroversi. Mungkin ini adalah salah satu strategi juga. Siapa tahu?

Filem yang terbit pada tahun ini mula ditayangkan November lalu sempena Kuala Lumpur International Film Festival (KLIFF). Tayangan filem-filem dari Arab, Mororco, Iran dan lain-lain negara Islam turut ditayangkan secara percuma di GSC Mid Valley dan GSC Pavilion Kuala Lumpur di Jalan Bukit Bintang. Tapi, antara kebanyakan filem, Hassan wa Morkos itulah yang benar-benar memikat jiwa dan mencabar pemikiran.

Filem ini mengungkap dilema yang terpaksa ditempuh oleh kedua-dua buah keluarga Muslim dan Kristian yang hidup dalam buruan pengganas di Mesir ekoran kegiatan keganasan yang terkait dengan gerakan al-Qaeda dan pengganas Kristian. Maka, atas nama keselamatan, mereka terpaksa menyamar dan kemudiannya bertukar agama olok-olok.

Ia adalah kisah mengenai seorang syeikh yang kuat pegangan agama dan kental spiritualnya. Saya lupa nama syeikh tersebut. Watak syeikh itu dipegang oleh pelakon terkenal yang pernah menempa nama di layar perak Hollywood, iaitu Omar Syariff. Untuk sementara, biarlah kita namakan dia sebagai Syeikh Omar.

Syeikh Omar ini, terpaksa melarikan diri daripada sekumpulan pengganas Muslim selepas adik lelakinya yang terlibat secara langsung dalam kumpulan pengganas telah mati dalam satu letupan dan serangan. Pada hari pengebumian adik lelakinya, teman-teman seperjuangan adik lelakinya telah datang menemui Syeikh Omar, memujuknya untuk kembali meneruskan perjuangan adiknya.

“Sekarang, tanggungjawab tuan untuk meneruskan perjuangannya,” kata tiga orang lelaki yang diutuskan menemui Syeikh Omar.

Bagaimanapun, Syeikh Omar menolak permintaan mereka itu. Penolakan itu menaikkan amarah di hati kumpulan tersebut. Selang tidak berapa lama, rumah syeikh Omar hangus dibakar. Beliau terus membuat penafian bahawa kebakaran di rumah mereka ada kaitan dengan kegiatan pengganas yang berdendam kepadanya.

Tapi, dengan ketibaan seorang pegawai polis tertinggi, Mokhtar Basya, akhirnya hal pihak pengganas yang berdendam dengan Syeikh Omar terdedah jua. Ekoran itu, Moktar Basya memberikan dokumen pengenalan diri yang baru kepada Syeikh Omar dengan nama Kristian, iaitu Morkos (Marcus). Termasuk seluruh keluarga Syeikh Omar turut diberikan nama dan identiti agama yang baru.

Paderi Baulus menukar namanya kepada Syeikh Hassan al-Attar
Di suatu sudut yang lain, seorang paderi merangkap guru besar dalam bidang teologi Kristian Goptik di Mesir turut menerima ancaman yang sama dalam muktamar antara penganut Muslim dan Kristian. Ugutan itu berlaku setelah Paderi Baulus (lakonan Adel Imam) melontarkan kecaman keras ke atas pengganas Kristian.

“Para penganut Kristian yang menggunakan kekerasan itu, bukanlah daripada kalangan kami,” tegas Paderi Baulus. “Gereja mengecam tindakan mereka yang melakukan keganasan ini atas nama agama.”

Selepas habis perhimpunan muktamar antara Muslim dan Kristian itu, dalam perjalanan pulang bersama anaknya, Paderi Baulus berasa ada sesuatu yang tak kena ke atas keretanya. Rupa-rupanya, ada rancangan membunuh daripada pengganas Kristian ke atas sang paderi ekoran kelantangannya dalam muktamar itu.

Sekali lagi, kes itu dirujuk kepada Mokhtar Basya, pegawai tinggi polis di Mesir. Akhirnya, di atas keselamatan nyawanya sekeluarga, untuk suatu tempoh tertentu, Paderi Baulus menggunakan nama Islam, Syeikh Hassan al-Attar, termasuk anak dan isteri beliau.

Banyak kisah jenaka yang berlaku dalam keluarga Syeikh Hassan al-Attar (Paderi Baulus) apabila mereka berpindah rumah. Paderi Baulus (dengan watak barunya Syeikh Hassan al-Attar) misalnya terpaksa ke masjid untuk menjawab permasalahan fekah penduduk setempat, hatta yang paling memenatkan ialah beliau terpaksa menjadi imam solat, termasuk solat Jumaat.

Akhirnya, Syeikh Hassan (Paderi Baulus) dan Morkos (Syeikh Omar) dipertemukan dalam sebuah rumah pangsa yang dimiliki oleh seorang Kristian. Maka, disitulah Morkos dan Syeikh Hassan mula mengikat tali persaudaraan sesama mereka, walaupun mereka berbeza identiti dan agama. Syeikh Omar (Morkos) menyangkakan Paderi Baulus (Syeikh Hassan al-Attar) adalah Muslim dan begitulah sebaliknya, Paderi Baulus menyangkakan Morkos seorang Kristian.

Melihat keakraban mereka, para penduduk sekitar perumahan itu tak menjangka bahawa penganut Islam dan Kristian akhirnya boleh tinggal sebumbung dan mereka boleh juga menjalankan urusan perniagaan roti bersama.

Satu babak yang paling menarik dan mungkin mencabar pemikiran kita ialah babak ketika mana Paderi Baulus (Syeikh Hassan al-Attar) dan Syeikh Omar (Morkos) mahu menunaikan ibadah menjelang masuknya waktu Maghrib. Mereka berpapasan keluar dari rumah, terus menuju ke sebuah masjid dan gereja yang berdekatan. Baik Syeikh Hassan dan Morkos menjadi serba-salah.

Morkos (Syeikh Omar) walaupun menyembunyikan keislamannya, tetapi ingin menunaikan Maghrib di masjid, walhal Syeikh Hassan al-Attar (Paderi Baulus) dan anak lelakinya Imad (nama Kristiannya, Girgis) ingin masuk ke dalam gereja. Akhirnya, mereka terpaksa menipu diri mereka sendiri. Paderi Baulus dan anaknya menyempurnakan amalannya di masjid manakala Morkos (Syeikh Omar) terpaksa berada di gereja ketika jemaah Muslim sedang menunaikan solat Maghrib.

Kedua-dua mereka tiada pilihan kerana terpaksa menyembunyikan identiti keislaman dan kekristianan masing-masing. Kalau watak agama mereka yang sebenarnya terbongkar, nyawa mereka dikhuatiri akan terancam. Morkos (Syeikh Omar) terpaksa berdoa dalam gereja menurut tatacara Islam. Dalam masa yang sama, Syeikh Hassan al-Attar (Paderi Baulus) terpaksa berdoa dalam masjid menurut tatacara Kristian.

Namun, karyawan filem nampaknya bijak menyusun keseimbangan antara kedua-dua jalur fikiran beragama. Misalnya, ketika babak watak Syeikh Hassan al-Attar tiba ke dalam masjid, ditunjukkan imam yang sedang membacakan Surah al-Ma’idah, ayat 82 yang bermaksud:-

“..Dan demi sesungguhnya, engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahasa kami ini ialah orang-orang Nasrani.” Yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

Manakala Morkos (Syeikh Omar) pula, ketika keluar dari gereja terus bertanya Syeikh Hassan al-Attar (Paderi Baulus): “Katakan anda seorang Kristian, lalu anda berdoa dalam masjid, adakah doa anda diterima?” Lalu, sang paderi berkata:- (kalau tak salah ingatan saya..)

“Menurut Bible.. kitab suci pegangan saudara itu,” kata Paderi Baulus, “jika ada dua atau tiga orang di sekeliling kita, maka Tuhan tetap mendengar doa kita.”

Paderi Baulus lebih memahami hakikat kitab itu kerana beliau sendiri adalah guru besar dalam bidang teologi Kristian. Ringkasnya, nas-nas dan dalil-dalil dari al-Quran dan Bible ini turut disebutkan secara seimbang melalui kedua-dua penganut agama samawi lewat filem tersebut.

Rahsia mula terbongkar
Hubungan akrab yang terjalin mesra di antara kedua-dua buah keluarga itu akhirnya membenihkan bibit percintaan antara Imad (Girgis), anak Paderi Baulus (Syeikh Hassan al-Attar) dengan Fatima (Maria), iaitu anak kepada Morkos (Syeikh Omar). Namun, akhirnya, percintaan mereka terhalang setelah kedua-duanya mengetahui rahsia agama masing-masing.

Hubungan yang asalnya jernih antara kedua-dua keluarga mula menjadi keruh ekoran terbongkarnya rahsia antara kedua-dua buah keluarga tadi. Bagaimanapun, di akhir cerita, sebuah insiden kebakaran di rumah mereka akhirnya kembali meneguhkan pendirian mereka bahawa Islam dan Kristian itu sebenarnya lebih harmoni perhubungannya berbanding agama-agama lain seperti Yahudi dan paganisme.

Di hujung filem ini juga, babak-babak seterusnya diadun dengan menyiarkan khutbah para khatib dari atas mimbar dan ucapan para paderi di gereja yang menghasut para penganut kedua-dua agama samawi ini agar terus bersilang sengketa sesama mereka.

Pendek kata, Hassan wa Morkos berjaya mennyulam elemen komedi bersama unsur pemikiran yang berat untuk diketengahkan kepada penonton. Saya rasa puas hati dan berasa tidak rugi menonton filem ini.

Kekeruhan hubungan antara Islam dan Kristian, antara ideal dan realiti
Sejak peristiwa Perang Salib, kita tersasar menyatakan hubungan itu adalah ekoran perang antara Islam dan Kristian. Secara tepatnya, perang itu merupakan suatu perang mutlak antara Islam dan Yahudi.

Ini kerana, antara dalang dan tulang belakang kepada Institusi Beraja di Benua Eropah adalah golongan Knight Templar yang punya tatacara kefahaman baru yang langsung berbeza daripada tradisi amalan keagamaan Kristian.

Knight Templar, (juga dikenali sebagai Crusaders, yang kemudiannya dijenamakan sebagai Freemason) akhirnya telah memanjangkan tradisi Perang Salib di rantau Nusantara melalui cengkaman ksatria Knight Templar dari Portugis, iaitu Alfonso De Albuquerque di Melaka.

Secara ringkas, secara ideal, hubungan Islam dan Kristian memang suatu hubungan yang baik seperti yang digambarkan dalam al-Quran. Jika berlaku di sebaliknya, maka hal tersebut ada kaitan dengan jarum-jarum yang ditusuk Yahudi dan unsur-unsur daripada faham paganisme ke dalam jiwa kedua-dua penganut agama ini. Wallahu’alam..

1:51 a.m, 26 Disember
Sekolah pemikiran Kg Baru

 

Ulasan saya: Usaha yang baik.

Comments
  1. astroboy says:

    Yup setuju …. kita semua boleh hidup bersama sebab yang diutamakan adalah cinta kasih sesama manusia …. tapi yang menakutkan apabila ada diantara kita ini ingin menjadi hero sedangkan dia sendiri adalah seorang yang munafik ….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s